Kehadiran Ramadan pastinya disambut girang oleh insan yang beriman. Ungkapan “Ramadan Karim” jelas membuktikan betapa riangnya para mukminin dan mukminat dengan kehadiran bulan Ramadan yang diberkati. Ramadan menjadi satu bulan yang akan memberi stamina dalaman dan membekalkan tenaga yang maksima kepada spiritual seorang Muslim serta menjauhkan dirinya daripada api neraka Allah.

 

Rasulullah ﷺ bersabda:

ما مِنْ عَبْدٍ يَصُومُ يَوْماً فِي سَبِيلِ اللهِ إلّا بَاعَدَ اللهُ بِذَلِكَ الْيَومَ وَجْهَهُ عَنِ النّارِ سَبْعِينَ خَرِيفاً

“Tidaklah seseorang hamba berpuasa satu hari di jalan Allah, melainkan dengan puasa sehari itu, Allah menjauhkan wajahnya dari api neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.” (Muttafaqun Alaihi)

 

Namun pada Ramadan tahun ini, kita laluinya dengan sedikit berbeza berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya  dek kerana virus Covid-19 yang melanda dunia ketika ini. Jika tahun lepas kita dapat merasai kemeriahan berterawih di masjid kegemaran kita dengan alunan bacaan para imam yang pelbagai, tahun ini ketua keluarga atau anak lelaki akan dinaikkan pangkat daripada makmum kepada imam yang akan mengimami solat bersama keluarga. Ataupun buat mereka yang tinggal di rumah sewa, sahabat-sahabat satu rumah pula yang akan mengimamkan solat kita.

 

Jika tahun lepas kita dapat menghadiri pelbagai jamuan berbuka puasa atau memenuhi ruang bazar Ramadan, namun tahun ini juadah berbuka hanya terbatas kepada masakan di rumah sahaja. Kebiasaannya, setelah satu minggu berpuasa, mungkin sudah ada yang mula berfikir tentang baju raya atau juadah yang hendak disajikan kepada tetamu ketika Aidilfiltri menjelang tiba. Akan tetapi, berlainan pula keadaannya pada tahun ini, peluang untuk dapat berkunjung ke rumah saudara atau sahabat yang terdekat juga belum pasti atau masih samar lagi.

 

 

Namun ingatlah, kelainan atau perbezaan dalam menyambut kedatangan Ramadan pada tahun ini perlu diterima dengan hati yang terbuka. Agama mengajar kita untuk memelihara kemaslahatan lebih utama, iaitu nyawa yang merupakan perkara daruri.  Penjagaan nyawa wajib dititikberatkan sebagai salah satu prinsip yang dipelihara oleh syariah (maqasid al-syariah).

 

Antara tips yang boleh dikongsikan dalam menghadapi Ramadan di musim Covid-19 ini, ialah:

 

  1. Ikhlaskan niat untuk beribadah semata-mata kerana Allah.

 

Tidak kisah jika kita berterawih di masjid atau di rumah, secara berjemaah mahupun bersendirian, kualiti ibadah kita perlu dijaga bahkan perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa. Ingatlah, Ramadan bukan tentang bulan amalan-amalan sunat semata, tetapi ia adalah proses untuk mendekatkan diri kepada Allah kerana tenaga spiritual yang bakal kita perolehi pada bulan ini bakal menjadi bekalan kepada bulan-bulan berikutnya.

 

  1. Membuat jadual atau to do list.

 

Kelebihan PKP atau Perintah Kawalan Pergerakan yang dilalui oleh kebanyakan tempat, tidak kira bagi golongan yang bekerjaya mahupun kumpulan pelajar pada sekarang ini, perlu dimanfaatkan sebaiknya. Takut-takut, puasa yang dilaksanakan pada saban hari hanya memperoleh lapar dan dahaga semata tanpa terisi dengan perkara sepatutnya. Kesannya kita akan gagal untuk  memaknai Ramadan itu sendiri iaitu sebagai satu proses untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

 

  1. Mewujudkan suasana Ramadan di rumah.

 

Tidak dinafikan, kebanyakan waktu kita dihabiskan pada musim Covid-19 adalah di rumah. Antara perkara yang kita boleh laksanakan untuk mewujudkan suasana Ramadan di rumah ialah, bertadarus bersama ahli rumah atau keluarga, memasak juadah berbuka bersama, solat berjemaah, membuat giliran untuk memberi tazkirah ketika berterawih dan banyak lagi. Jika selama ini kita melaksanakan perkara- perkara tersebut di masjid, pada kali ini pula, Allah memberikan peluang seluas-luasnya untuk kita melaksanakannya bersama insan terdekat atau ahli rumah. Dan secara tidak langsung, kita dapat mengeratkan hubungan sesama kita yang terdekat.

 

 

Akhir kata, janganlah kita menjadikan virus pandemik yang melanda seluruh pelosok dunia pada waktu kini sebagai penghalang untuk mendapatkan Ramadan yang terbaik. Garaplah segenap peluang yang ada untuk jadikan Ramadan pada kali ini yang paling istimewa.

 

Berpuasalah dengan tabiat merenung ke alam akhirat. Apabila kita sering memerhatikan alam akhirat, kita akan sentiasa mengharapkan rahmat daripada Tuhan dan berasa takut akan azab-Nya tidak kira walau sebanyak mana amal ketaatan yang telah dilaksanakan. Dengan sikap ini, barulah kita tidak menjadi hamba kepada “musim” Ramadan, tetapi hamba kepada Tuhan Yang Maha Menciptakan.

 

Semoga kelainan Ramadan yang dilalui pada tahun ini menjadi saksi dan bekal syafaat dalam perjalanan akhirat kita kelak. Insya-Allah.

 

 

 

Karimah Nadiah binti Razali,

Timbalan Jabatan Setiausaha merangkap Timbalan Biro Sukan dan Aktiviti Luar,

PERUBATAN Cawangan Mansurah,

2020/2021.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *