Berikutan wabak Covid-19 yang telah menjejaskan negara dari pelbagai sudut termasuklah sektor pendidikan iaitu penangguhan peperiksaan di peringkat universiti, suatu inisiatif telah diambil oleh Biro Akademik untuk mengadakan perjumpaan bersama Dr. Rafik Barakat bagi membincangkan tentang beberapa perkara iaitu tentang perancangan pihak universiti berkenaan keputusan tarikh peperiksaan bagi jurusan perubatan klinikal, teknikal pengambilan peperiksaan di universiti dan hal-hal lain yang berkaitan. Perjumpaan yang berlangsung pada tarikh 24 Jun 2020 turut dihadiri Pengerusi PCM, Ahmad Yazid bin A. Rahim dan Timbalan Ketua Biro Akademik, Hanis Afiqah binti Hisamuddin bersama Dr. Rafik Barakat.

Hasil daripada perjumpaan tersebut ialah:

  1. Tarikh peperiksaan bagi tahun klinikal jurusan perubatan Manchester akan bermula seperti mana tarikh rasmi yang akan dikeluarkan pihak universiti dalam masa terdekat.
  2. Peperiksaan Multiple Choice Question (MCQ) dan Essay akan dijalankan seperti biasa mengikut panduan keselamatan yang akan disediakan oleh pihak universiti sesuai dengan situasi semasa.
  3. Bagi peperiksaan praktikal (OSCE) antara syarat yang ditetapkan;
  • Peperiksaan akan dijalankan di fakulti perubatan.
  • Tidak melibatkan pesakit di hospital.
  • Bilangan pelajar yang akan mengambil peperiksaan pada hari tersebut akan dihadkan untuk mengelakkan kesesakan.
  • Pihak universiti akan mengadakan persiapan dan pemeriksaan secukupnya kepada semua yang terlibat sepanjang proses peperiksaan dijalankan.
  1. Bagi pelajar yang benar-benar mengalami masalah untuk hadir pada tarikh ditetapkan, mereka dikehendaki memberikan makluman awal kepada pihak universiti untuk diambil perhatian.
  2. Khas bagi pelajar yang pulang ke Malaysia, pihak universiti akan mengeluarkan surat atau dokumen yang diperlukan bagi memudahkan urusan imigresen pelajar kembali ke Mesir.
  3. Sekiranya pelajar mempunyai gejala atau menunjukkan simptom-simptom gejala Covid-19, mereka akan dikecualikan daripada mengambil peperiksaan. Pelajar Malaysia yang mempunyai masalah kesihatan harus berhubung terus dengan wakil BCAD supaya maklumat tersebut dapat disalurkan kepada doktor yang bertanggungjawab untuk tindakan yang lebih lanjut.
  4. Pelajar yang pulang ke Mesir juga diarahkan agar mematuhi proses kuarantin yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan tempatan.
  5. Berkenaan kelas yang berbaki, iaitu kelas ulangkaji yang akan bermula pada bulan Ogos ini, kelas akan dijalankan mengikut langkah pencegahan dan keselamatan yang secukupnya oleh pihak universiti. Antara usaha yang akan dilakukan adalah dengan mengehadkan dan meminimumkan bilangan pelajar dalam satu kelas dan kelas akan dilakukan secara beberapa sesi dalam satu hari.
  6. Tarikh bermulanya pengajian semester bagi sesi baharu belum dapat diputuskan dan masih dalam proses perbincangan bersama pihak universiti. Begitu juga dengan teknikal pembelajaran yang akan dilaksanakan.
  7. Selain itu, bagi pelajar Perubatan Konvensional yang bakal menghadapi peperiksaan perlu mengikut serta mematuhi segala prosedur yang dikeluarkan oleh pihak universiti.

Akhirnya, sebarang perubahan yang dilakukan adalah bergantung kepada keadaan semasa. Semua pelajar diharapkan agar selalu mengikuti perkembangan pengumuman yang dikeluarkan pihak universiti dari semasa ke semasa.

Diharapkan agar semua pelajar masih dibekalkan dengan kecekalan dan keikhlasan dalam menuntut ilmu bagi menghadapi peperiksaan yang akan datang. Marilah kita sama-sama mendoakan yang terbaik untuk kesihatan dan keselamatan semua pelajar sains kesihatan yang berada di Malaysia mahupun di Mesir.

Untuk sebarang aduan, cadangan atau muhasabah bolehlah utarakan di pautan berikut:

http://tinyurl.com/eaduanPCM

#PCMOneBigFamily

#HidupkuIIlmu

“Achieve The Highest, Improve Others”

“Bersama Menjaga Kebajikan, Bersatu Membina Insan”

Biro Akademik,

PERUBATAN Cawangan Mansurah 2020/2021.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *