Pengorbanan merupakan kata kunci bagi sambutan Hari Raya Aidiladha. Pelbagai babak tangisan pengorbanan yang telah berlaku sebelum tercetusnya sambutan kegembiraan Aidiladha yang kita nikmati pada hari ini. Dalam Islam, perayaan bukan sekadar ritual sambutan tahunan semata-mata. Namun, ada mesej penting yang perlu diperingatkan kepada si pelupa yang bernama manusia.

Daripada sebuah pengorbanan, menyeru pengorbanan yang lain.

Ibadah korban yang dilakukan pada setiap kali sambutan Aidiladha mengingatkan kita tentang kisah Nabi Ibrahim AS yang diuji oleh Allah SWT dengan perintah menyembelih anaknya iaitu Nabi Ismail AS. Sudahlah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail baru berjumpa setelah terpisah dalam tempoh yang agak lama, tiba-tiba turun perintah Allah SWT untuk mengorbankan anaknya. Peristiwa ini dirakamkan di dalam surah as-Saffat, ayat 102:

فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ

“Maka tatkala anaknya itu sampai ke peringkat umur yang membolehkan dia berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah bagaimana pendapatmu!” Dia (Ismail) menjawab: “Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu; dengan kehendak Allah, engkau akan mendapatiku termasuk dari kalangan orang yang sabar.”

Pasti tidak mudah untuk mencederakan anak sendiri, apatah lagi menyembelihnya hidup-hidup. Logiknya, orang akan mengatakan ini kerja gila. Namun, Nabi Ibrahim dan anaknya mengatakan “ya” kepada perintah Allah tanpa rasa ragu. Pengorbanan dan ketaatan Nabi Ibrahim AS serta anaknya terhadap perintah Allah, tidak lain tidak bukan adalah bukti keimanan yang teguh kepada Allah SWT. Inilah cinta yang hakiki. Cinta yang mampu membuatkan manusia berkorban apa sahaja hatta berkorban nyawa sekalipun demi-Nya. Biarlah orang kata gila sekalipun, asalkan Allah reda.

Suruhan Allah adalah ujian buat manusia, sesiapa yang sanggup berkorban pasti akan diberikan imbalan.

Korban nyawa yang dilaksanakan dengan kerelaan kedua-dua ayah dan anak ini bukan semata-mata disebabkan perasaan taat setia secara membuta tuli, sebaliknya ia didorong oleh keyakinan bahawa perintah Allah SWT tersebut perlu dipatuhi dan dilaksanakan dengan penuh keikhlasan. Ketika mata pedang nyaris-nyaris menyentuh leher Nabi Ismail, Allah menggantikan sembelihannya dengan seekor kibas sebagai balasan bagi keikhlasan mereka berdua. Peristiwa ini digambarkan dalam surah as-Saffat ayat 107–110:

وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ . وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِي الْآخِرِينَ . سَلَامٌ عَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ . كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ

“Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Kami abadikan untuk Ibrahim (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian. Iaitu kesejahteraan semoga dilimpahkan kepada Nabi Ibrahim. Demikianlah kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.”

Mengapa peristiwa pengorbanan ini diulang-ulang setiap tahun?

Setiap manusia ditugaskan dengan pelbagai tanggungjawab sepanjang kita bernafas di atas muka bumi Allah. Semakin banyak tugasan, semakin banyaklah pengorbanan yang perlu dilakukan. Kadang-kadang kita perlu berkorban masa rehat. Ada masa kita perlu mengorbankan masa bersama keluarga tersayang. Ada juga yang terpaksa berkorban wang demi melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Maka, pengorbanan adalah suatu perkara yang berkait rapat dengan kehidupan semua manusia.

Apabila kita bercakap soal pengorbanan, ada dua jenis penyakit yang ada pada manusia: golongan yang tidak mahu berkorban dan golongan yang berkorban sehingga mengabaikan hak dirinya. Golongan pertama tidak mahu berkorban kerana tidak tahan dengan lelahnya hakikat pengorbanan yang harus dilakukan. Ada manusia yang lebih mengutamakan kesenangan hidup jangka masa pendeknya sehingga mengabaikan pengorbanan yang perlu dilakukan untuk menyelesaikan tanggungjawabnya.

Berkorban untuk kepentingan diri sendiri mungkin mudah bagi kebanyakan orang. Bagaimana pula dengan pengorbanan kita untuk orang lain? Adakah kita rela berkorban tenaga, harta dan masa untuk masyarakat? Tidak dapat tidak, semangat berkorban harus disuburkan dalam diri kita. Semangat untuk suka memberi dan bukan menerima inilah yang seharusnya menjadi sebahagian daripada budaya hidup kita. Harus kita ingat bahawa dalam masa kita terdapat hak orang lain yang perlu kita berikan.

Kalau hidup sekadar untuk keperluan diri sendiri, kera di hutan juga hidup bukan?

Seterusnya, golongan kedua pula berkorban sehingga terkorban. Ada orang yang begitu banyak berkorban masa dan tenaga menyiapkan tugasan sehingga menjejaskan kesihatannya. Hal ini merupakan salah satu salah faham dalam konsep pengorbanan. Sebagaimana tanggungjawab kita mempunyai haknya untuk diselesaikan, begitu juga tubuh kita mempunyai haknya yang perlu diberikan perhatian. Pengorbanan bukan sesuatu yang mudah dan ringan. Maka, si pelakunya juga harus dijaga dengan baik supaya lebih banyak lagi pengorbanan yang mampu dilaksanakan secara berterusan.

Ingatlah, peristiwa pengorbanan nyawa yang sanggup dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS adalah bukti bahawa pengorbanan yang kita lakukan sehingga ke hari ini tidaklah sebesar mana yang kita fikirkan. Jangan pernah merasa diri sudah banyak berkorban. Jangan juga mengharapkan orang lain berkorban dan bersusah payah untuk kita. Jangan pula kita berkorban demi satu tanggungjawab sehingga terkorban tanggungjawab yang lain. Apa yang penting, selagi pengorbanan kita bersandarkan kepada perintah Allah, jangan pernah takut untuk berkorban.

Semoga Hari Raya Aidiladha kali ini memberikan inspirasi kepada kita untuk terus berkorban masa, tenaga atau harta semampunya demi mencapai keredaan Allah SWT. Jika kita tidak mahu berkorban, kita mungkin akan membuat orang lain terkorban dek kerana terbeban melaksanakan pengorbanan yang kita abaikan. Yakinlah bahawa setiap pengorbanan yang kita lakukan dijanjikan ganjaran oleh Allah, baik di dunia atau di akhirat kelak.

Selamat Hari Raya Aidiladha!

 

Afiqah Binti Zulkifili,

Naib Pengerusi II,

Tahun 4 Perubatan Mansurah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *